Thursday, June 26, 2008

Diari Hujung Minggu Ini (27-29 Jun 2008)

assalamualikum wrt...

berikut dinyatakan 6 program KBM yang akan berlangsung pada hujung minggu ini

1. SMK Convents Batu Pahat. ( 28 & 29 Jun 2008 )

2. SK TLDM 1 , Perak. ( 28 & 29 Jun 2008 )

3. SAR Pengkalan TLDM, Perak. ( 27 & 28 Jun 2008 )

4. Anak-anak Staf TLDM Pulau Pinang. ( 28 & 29 Jun 2008 )

5. KBM Sek Integrasi Kedah. ( 27 & 28 Jun 2008 )

6. KBM aktivis JIM Negeri Selangor. ( 28 & 29 Jun 2008 )

kami mengharapkan doa-doa dari sahabat sekalian.....
moga keindahan bersama Allah, rasulullah, ibu ayah, sahabat dan semua
makhluknya akan terus Menyerlah Jauh Dari Yang Biasa.

Cabaran ibu bentuk generasi bertakwa

Negara jadi makmur, aman sentosa jika semua anak dapat didikan sempurna dari rumah SEBENING titisan embun pagi, secerah sinarnya mentari. Bilaku tatap wajahmu ibu, ada kehangatan di dalam hatiku. Air wuduk selalu membasahimu, ayat suci selalu dikumandangkan. Suara lembut penuh keluh dan kesah, berdoa untuk putera puterinya."

Sebahagian lirik daripada lagu Ibu oleh Sakha penyanyi seberang, membuat hati semua ibu tersentuh. Jika boleh, semua ibu mengimpikan anak yang mengenang budi dan berbakti kepada orang tua.

Jauh di sudut hati kita bertanya diri, apakah tanggapan anak kita terhadap diri kita? Adakah kita dikenang oleh anak seperti dalam lirik di atas?

Saodah Hassan menulis dalam bukunya bertajuk: Ibu: Tanggungjawab, Pengorbanan dan Cabaran, "Ibu adalah wanita yang dimuliakan Allah sebagaimana tercatat dalam kitab suci al-Quran. Bila disebut ibu, ia adalah seorang wanita, kiranya wanita itu baik, maka baiklah sesuatu keluarga dan jika keluarga itu baik, maka baiklah masyarakat, jika sesuatu masyarakat itu baik maka sesebuah negara akan jadi baik."

Sebenarnya penulisan di atas adalah maksud daripada hadis popular yang menekankan pentingnya pengaruh ibu dalam menentukan berjaya atau gagalnya sesebuah keluarga, masyarakat, negara dan dunia.

Negara malah dunia menjadi makmur, aman sentosa apabila memiliki ibu berkualiti. Dunia ideal yang tidak ada anak merempit, ketagih ganja dan syabu, lari dari rumah seperti yang kita dengar dan lihat hari ini baik di akhbar, majalah, radio, TV mahupun internet.

Teringat pula kepada Maryam, ibu Nabi Isa yang diabadikan kisahnya dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan ingatlah (wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: Wahai Maryam, sesungguhnya Allah telah memilihmu dan mensucikanmu, dan telah memilihmu untuk beroleh kemuliaan melebihi perempuan seluruh alam yang sezaman denganmu. Wahai Maryam, taatlah kepada Tuhanmu (Allah), dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama orang yang rukuk."

Ciri apakah yang ada pada Maryam sehingga dia dipilih Allah? Tentu sekali kerana ketakwaannya serta kekuatan ibadatnya kepada Allah. Begitu juga ibu Nabi Musa, Khadijah, Fatimah binti Rasulullah SAW, Asma' binti Abu Bakar dan wanita Muslimah lain yang dikenang sejarah. Semua mereka memiliki ciri ketakwaan unggul.

Ibu yang patuh kepada perintah Allah dan Rasulullah SAW serta menghayati ajaran Islam sudah tentu ciri itu diikuti anak mereka. Mereka melahirkan pemimpin dunia yang agung dan dikenang sepanjang zaman.

Ramai ibu hari ini berjaya menghasilkan jutawan, tokoh akademik, doktor, jurutera dan profesional pelbagai bidang. Apakah ini kayu ukur sebenar kejayaan seorang ibu? Kerana kita akan bertanya balik, berapa ramaikah anak yang berjaya ini menjadi penjenayah kolar putih, kolar biru dan berapa mensia-siakan hidup mereka.

Nilai kejayaan dan kecemerlangan ibu perlu dilihat daripada kejayaan anak yang pintar ilmu, emosi dan spiritual. Satu nilai yang mengambil kira nilai dunia dan akhirat ialah takwa.

Jika anak itu menjadi pekerja tidak kira berpangkat atau sebaliknya, biarlah mereka menjadi pekerja yang bertakwa kerana ia adalah kejayaan buat ibunya. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah adalah yang paling bertakwa." (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Cabaran besar buat diri kita dan ibu hari ini adalah untuk menetapkan sasaran supaya anak yang menjadi generasi pewaris membesar menjadi anak bertakwa. Bukan saja yang soleh tetapi juga mengajak orang lain melakukan amal soleh. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya dan hampalah orang yang mengotorinya." (Surah As-Syams, ayat 9-10)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ketahuilah dalam tubuh ada sesuatu yang kalau baik, baiklah seluruh tubuhnya; kalau jahat, jahatlah seluruh tubuhnya. Itulah kalbu." (Hadis riwayat Muslim) Hati adalah tempat tumbuhnya segala sifat positif seperti ikhlas, jujur, berani, benar, berkasih sayang dan warak. Sebaliknya, hati juga tempat menyuburkan sifat negatif seperti mementingkan diri, tamak, pengecut, benci serta dendam.

Persada zaman menampilkan ibu sejati dan mithali, Asma' binti Abu Bakr yang mendidik jiwa anaknya Abdullah ibnu Zubair menjadi seorang berani bersuara dan panglima dalam jihad. Jawapan Abdullah ibnu Zubair kepada Khalifah Umar al-Khattab ketika ditanya kenapa kanak-kanak lain lari apabila bertembung dengan Umar ialah: "Ibu kita mengajar supaya takut pada Tuhan saja, bukan pada manusia."

Pada usia tua, ketika melihat Abdullah ibnu Zubair diseksa oleh Hajjaj, Asma' masih mampu menyuburkan jiwa Abdullah dengan kata-kata semangat: "Kambing yang disembelih tidak akan terasa kulitnya dilapah." Kejujuran sikap Syeikh Abdul Qadir al-Jailani (ketika remaja), tanpa takut bercakap benar kepada perompak. Beliau menjawab soalan perompak yang menawannya mengenai wang yang banyak dalam poketnya. Ketika ditanya oleh perompak mengapa beliau memberitahu mengenai wang 40 dinar itu beliau menjawab: "Ibuku selalu berpesan supaya sentiasa berkata benar walau dalam keadaan apa sekalipun. Dan aku takut untuk menderhakai perintahnya."

Oleh itu, ibu moden perlu jelas dengan ukuran kejayaan dan memastikan anak berjaya menunjukkan ciri kejayaan sebenar. Piawaian kejayaan kita hendaklah berdasarkan nilai ukuran yang ditetapkan Allah antaranya:

1. Orang yang mengenal Allah sebagai Tuhannya dan bersungguh-sungguh taat serta mengabdikan diri dengan tulus dan istiqamah.
2. Orang yang berani dan berjaya menemukan kekurangan dirinya lalu dengan bersungguh-sungguh dan gigih memperbaikinya
3. Orang yang berjaya mengembangkan potensi positifnya hingga hidupnya kian hari kian bermanfaat kepada sesama manusia dan makhluk lainnya.
4. Orang yang akhir hayatnya husnul khatimah , iaitu matinya penuh kemuliaan di jalan yang diredhai Allah.

Kata-kata hikmat bahawa 'tangan yang menghayun buaian itu boleh mengubah dunia' mengajak kita ibu berazam untuk menjadi ibu mithali yang akan mencorakkan generasi unggul pernah disaksikan sejarah suatu ketika dulu.

Hari ibu tahun ini usah ditanya apakah hadiah yang akan kita terima daripada anak tetapi kita tanyakan diri kita apakah 'hadiah' kita kepada anak dan sediakan apakah jawapan yang akan diberikan kepada Allah.

Penulisan disediakan pensyarah di Institut Pengajian Islam Bangi dengan kerjasama wanita JIM yang boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Sumber: Berita Harian, 9hb Mei 2008

Thursday, June 19, 2008

Diary KBM Hujung Minggu Ini


assalamualaikum wrt....

selepas berjaya melaksanakan program Keindahan Bersama Mu di 5 lokasi pada minggu lepas. Team KBM akan tetap meneruskan agenda nya pada minggu ini. Terdapat 2 program KBM yang akan berlangsung, seperti berikut....

  1. KBM di SMK Tok Perdana , Setiawan ( 21 & 22 Jun 2008 )
  2. KBM Aktivis JIM Pahang ( 21 & 22 Jun 2008 )
pihak kami mengharapkan doa-doa dari sahabat-sahabat sekalian...

Wednesday, June 11, 2008

Diary KBM Hujung Minggu Ini


alhamdulillah, segala puji bagi Allah, tuhan sekalian Alam, tuhan yang maha besar lagi maha agung, kami bersyukur kepada mu Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim...

inshaAllah, pada hujung minggu ini, 5 program KBM akan dijadualkan berlangsung, berikut dinyatakan butiran diary KBM hujung minggu ini.

  1. KBM bersama Warga Singapura
  2. KBM di SM Teknik Johor Bahru
  3. KBM di SMART Teluk Intan
  4. KBM di TIGS Batu Pahat
  5. KBM di SMK Permatang Pasir
Kami memohon sahabat-sahabat sekalian, agar bersama-sama mendoakan keberkesanan program ini. amin....

Kematian Yang Pasti


Tiada siapa dapat menyangka, tragedi gempa bumi di China baru-baru ini meragut lebih 51,000 nyawa. Kedua-dua ibu bapa itu tentu sekali tidak pernah terfikir menyangka anak kecilnya pergi dulu berbanding mereka. Maut ternyata tidak mengenal usia, tua atau muda.

Ibu bapa tiada sebarang kuasa untuk merayu malaikat Izrael daripada mencabut nyawa anak kecil mereka termasuk yang masih berada dalam rahim. Kelahiran adalah suatu anugerah begitu juga kematian suatu anugerah. Namun, fenomena alam itu tidak serupa dalam pandangan dan perasaan manusia. Dalam sesebuah keluarga, kelahiran disambut dengan penuh keceriaan. Sebaliknya, kematian ditangisi dalam suasana penuh kesedihan. Nabi Muhammad sendiri pernah mengalami keadaan sedih ini. Kematian anak kecilnya, Ibrahim misalnya disambut dengan penuh kedukaan seluruh ahli keluarga, malah nabi sendiri menitiskan air mata. Hal ini menunjukkan bahawa tiada salahnya menangis di atas pemergian si kecil, yang terlarang adalah meratap dan terpekik terlolong seperti sebahagian daripada orang bukan Islam.

Selain itu, kematian semua anak lelaki (tanpa meninggalkan seorang pun zuriat lelaki) tidak menjadikan nabi bergelut dengan masalah kemurungan dan duka nestapa yang berpanjangan
sebaliknya diterima dengan tulus pasrah, di samping sedikit pun tidak menjejaskan tanggungjawab beliau dalam membangunkan umat dan negara.

Kisah Malik bin Dinar al-Sami (meninggal dunia pada 130H/748M) menarik untuk diimbau.

Diringkaskan cerita, ketika zaman berpoya-poya dan kaki minum, Malik mengimpikan seorang anak perempuan. Sebabnya, dia mendapat khabar, sesiapa yang mengasihi anak perempuan akan dapat masuk syurga. Maka dengan izin Allah, Malik pun dikurniakan Allah akan seorang anak perempuan. Menurut beliau, “Ketika dia mula pandai berjalan, maka cintaku bertambah padanya. Setiap kali aku meletakkan minuman keras di hadapan, anak itu datang kepadaku dan mengambilnya lalu menuangkannya ke bajuku.


“Setiap kali aku hendak minum arak, tangan anakku selalu menepis tanganku, seolah-olah dia melarang aku daripada meminumnya.” Malik sungguh menyayangi anak kecil itu, namun ketika berumur dua tahun, anak yang bernama Fatimah itu meninggal dunia. Sedihnya si bapa bukan kepalang.

Pada suatu malam Jumaat, pada Syaaban, Malik meneguk arak lalu tertidur sebelum solat
Isyak. Dalam tidur dia bermimpi seolah-olah berada dalam Hari Kebangkitan. “Aku mendengar sesuatu yang bergerak di belakang, ketika aku menoleh ke arahnya kulihat seekor ular yang sangat besar berwarna hitam kebiru-biruan sambil membuka mulut bergerak ke arahku.

” Malik lari sekuat hati. Di tengah jalan, beliau temui seorang lelaki tua dengan pakaian serba putih bersama haruman semerbak mewangi. “Wahai orang tua, tolonglah selamatkan aku daripada ular itu,” rayu Malik. Sambil menangis, orang tua itu menjawab, “Aku begitu lemah sedangkan ular itu lebih kuat daripada aku. Aku tak mampu melawannya. Kau lari sajalah, mudah-mudahan Allah menyelamatkan engkau.”

Malik bergegas berlari lagi dan akhirnya sampailah ke pinggir neraka - keadaan sungguh kritikal, di depan neraka, di belakang pula ada ular besar dengan keadaan mulut luas ternganga! Tiba-tiba kedengaran suara, “Tempat kamu bukan di sana (neraka).” Malik beredar dan berjumpa lelaki tua tadi. Malik diminta cuba pergi ke gunung Amanah.

“Aku pun menuju ke tempat itu. Di sana aku bertemu dengan seorang anak kecil berwajah sangat indah,” jelas Malik. Tanpa diduga, anak itu adalah anak beliau sendiri, Fatimah! Anak kecil itu pun mengusir ular besar. Kemudian mengusap janggut bapanya lalu membacakan sebahagian daripada surah al-Hadid, ayat ke-16. Ayat Allah bermaksud: “Belumkah datang waktunya bagi orang beriman untuk tunduk hati mereka mengingati Allah.” Ia boleh juga dinisbahkan kepada: Apakah belum sampai seru untuk beramal soleh? Tanya Malik kepada Fatimah berserta anak kecil lain, “Apakah yang kalian buat di gunung itu?” Jawab si anak kecil, “Kami adalah anak muslimin yang akan berada di sini sampailah kiamat, menunggu kalian datang kepada kami.” Selepas terjaga daripada tidur, Malik pun bertaubat, lalu menjadi seorang yang terkenal salih dan warak di sisi Tuhan.

Lelaki tua adalah gambaran amal salih, manakala ular adalah gambaran amal buruk atau dosa.


Moga Allah anugerahkan kesabaran dan ketabahan buat mana-mana ibu bapa yang kematian si kecil dengan apapun puncanya. Bukankah anak kecil itu milik Allah juga? Dia Maha Menghidupkan dan Maha Mematikan. Menyalahkan Tuhan untuk sesuatu kematian hanyalah suatu dosa besar, cepu rasa hamba derhaka. Tiada nas yang jelas mengenai syafaat anak kecil kepada ibu bapa (mimpi seperti di atas tetap lebih rendah darjatnya berbanding ayat al-Quran dan al-Hadis). Pertemuan semula antara ibu bapa dengan anak kecil yang mati dulu adalah suatu yang pasti dengan syarat ibu bapa tergolong dalam golongan beriman.

Hal ini diterangkan dalam nas bermaksud berikut: “Dan orang beriman, dan anak cucu yang mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tidak mengurangi sedikit pun daripada pahala amal mereka. Setiap manusia t
erikat dengan apa yang dikerjakannya.” (At-Tur : 21) Kematian si kecil hakikatnya adalah suatu isyarat yang amat kuat bahawa kematian tidak mengenal usia. Yang kecil dan mentah muda tidak semestinya dilewatkan kematian, manakala yang tua dan lanjut usia pasti terlebih dulu menemui ajal. Mengingati kematian adalah satu sunnah, agar lebih bijak menguruskan kehidupan kini demi kehidupan lestari akan datang.

Penulis adalah jurulatih dan penulis bebas dan boleh dihubungi di e-mel wanitajim@yahoo.com.

Monday, June 2, 2008

Diary KBM hujung minggu ini


assalamualaikum wrt....

alhamdulillah, menjelang cuti persekolahan ini, team KBM tidak putus-putus menerima tempahan dan permintaan dari pelbagai pihak. Subhanallah, hal sebegini menyaksikan bahawa manusia dewasa ini sesungguhnya dahagakan kesedaran dan pengisian baik rohani mahupun jasmani.

Diary KBM minggu ini menyaksikan 4 KBM di empat Negeri.
  • KBM di Sek Men Islam Hidayah
  • KBM di International Islamic College
  • KBM di Masjid Ubudiyah KualaKangsar
  • KBM di SMK Sungai Layar
kami mengharapkan doa-doa dari sahabat-sahabat sekalian...

Kurangkan Beban Dosa Dengan Berdoa

Dosa boleh berlaku secara menegak iaitu yang berkaitan hubungan dengan Tuhan dan boleh berlaku secara mendatar, berkaitan hubungan sesama manusia. Dalam pergaulan hidup sehari-hari sudah tentu berlaku kesilapan sama ada disengajakan atau tidak.

Kesilapan itu boleh mengundang dosa terutama jika ia menyentuh pelanggaran hak yang berkaitan dengan tubuh, maruah diri dan harta benda. Persoalannya, jika dosa dengan Allah boleh diatasi dengan beristighfar dan taubat, bagaimana pula untuk menebus dosa sesama
manusia. Seperti seorang itu wajib bertaubat kepada Allah, manusia juga wajib bertaubat daripada dosa membabitkan sesama manusia. Ulama menggariskan tiga syarat taubat iaitu memohon keampunan dengan beristighfar, menyesali perbuatan lalu dan bertekad untuk tidak mengulanginya. Apabila dosa tadi berkaitan dengan manusia, maka wajib meminta maaf dan mengembalikan haknya. Jika kita mengambil hartanya (curi, pecah amanah, melalui jalan tidak jujur) hendaklah kita mengembalikan setiap sen daripadanya kecuali dia menghalalkan.
Jika membabitkan maruah diri seperti difitnah, dizalimi, dianiaya, maka wajib satu pengakuan terbuka dibuat untuk membersihkan namanya. Ia termasuk melunaskan apa juga tuntutan ganti rugi akibat kesusahan menimpanya seperti hilang mata pencarian kerana diaibkan.

Jika membabitkan jenayah, maka dalam Islam sudah ada peruntukan dalam bentuk qisas dan
takzir. Kesalahan itu termasuk jenayah membunuh, mencederakan dan memperkosa. Bagaimana jika seseorang itu tidak sedar dia sudah melakukan kesalahan dan berdosa kepada orang lain. Di sinilah kita perlu memohon maaf dan sentiasa memaafkan orang lain kerana manusia tidak sunyi daripada melakukan kesilapan. Kadang-kala perkataan atau perbuatan kita menyinggung perasaan orang lain sedangkan kita tidak bermaksud untuk melukakan hatinya. Mungkin seseorang itu salah faham dengan apa yang kita hendak sampaikan.


Kerana itu dituntut untuk memohon maaf sesama insan terutama yang berada dalam lingkungan pergaulan kita (keluarga, sanak-saudara, rakan dan kenalan), walaupun kita tidak berasa pernah melakukan kesilapan dengannya. Kemudian kita dituntut untuk sentiasa
memaafkan orang lain. Ia berdasarkan kisah seorang sahabat di zaman Rasulullah SAW yang disebut sebagai ahli syurga. Sahabat lain tidak melihat apa-apa kelebihan pada sahabat itu sehingga dia disebut sebagai calon ahli syurga. Apabila ditanya apakah amalannya, sahabat itu mendedahkan bahawa setiap kali sebelum melelapkan mata dia memaafkan orang lain dan berlapang dada terhadap mereka.

Kisah itu memberi iktibar kepada kita supaya sentiasa memaafkan kesalahan orang pada kita, maka Allah akan mengampunkan semua dosa kita pada orang lain termasuk yang tidak kita sedari atau tidak disengajakan. Bak kata pepatah Inggeris, 'kemaafan adalah pembalasan dendam yang terbaik'.

Memohon maaf kepada orang yang tidak dapat ditemui lagi atau sudah meninggal dunia, dalam situasi seperti itu hendaklah kembali kepada Allah. Serahkan urusan itu kepada Allah semoga keinsafan dan penyesalan untuk memohon maaf didengari Allah dan melepaskan kita daripada bebanan dosa berkenaan. Kemudian hendaklah seseorang itu berusaha menjejaki keluarga atau warisnya jika ia membabitkan pengambilan harta secara tidak hak dan kembalikan harta itu kepada warisnya.


Jika warisnya tidak ditemui maka sedekahkan kepada mana-mana badan dakwah dan kebajikan. Semoga Allah menerima sedekah sebagai penebus dosa. Hendaklah memperbanyak kerja kebajikan dan kebaikan seperti bersedekah, menyambung silaturahim dan melakukan kebajikan yang membawa manfaat.


Satu daripada langkah orang yang berdosa selepas bertaubat ialah menutup kesalahannya atau menyusulinya dengan perbuatan yang baik. Dalam konteks insan lain yang tidak dapat ditemui atau sudah meninggal dunia, alim ulama kontemporari berpendapat antara lain yang perlu dilakukan ialah memperbanyakkan doa supaya Allah mengampuni dosa mereka.

Allah menjanjikan antara doa yang makbul ialah doa daripada seorang saudara kepada saudaranya yang lain tanpa pengetahuannya. Malaikat juga akan mengaminkan doa kita. Berdoa kepada Allah memberikan seperti yang kita doakan untuk saudara kita. Harapan kita ialah apabila terampun dosa mereka, maka tidak ada lagi bebanan dosa yang akan terpindah kepada kita di hari akhirat kelak. Begitulah antara tanda kasih dan sayangnya Allah kepada hamba-Nya.


INTI PATI Melakukan dosa sesama manusia
Manusia wajib bertaubat daripada dosa dengan Allah dan sesama manusia.
Jika dosa berkaitan dengan manusia, maka wajib meminta maaf dan mengembalikan haknya.
Jika membabitkan harta seperti mencuri, pecah amanah dan sebagainya wajib dikembalikan setiap sen yang dicuri kecuali dihalalkan.
Jika membabitkan maruah diri seperti difitnah, dizalimi atau dianiaya, wajib membuat pengakuan terbuka untuk membersihkan nama mangsa.
Islam memperuntukkan qisas dan takzir bagi kesalahan jenayah.
Jika tidak sedar dosa dilakukan, maka dituntut memohon maaf dan memaafkan orang lain.
Mohon maaf kepada Allah jika tidak berjumpa dengan orang yang kita lakukan dosa. Cari waris untuk mengembalikan harta jika membabitkan jenayah harta.

Jawapan disediakan oleh Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dan Amir Razelan Adnan. Sebarang permasalahan dan jawapan boleh dilayari di www.bicarakalbu. blogspot. com