Thursday, March 25, 2010

:: Offline with Hedonism!' di KLCC ::

'Offline with Hedonism!' di KLCC

a

KUALA LUMPUR, 18 Mac - Seramai 83 orang remaja yang sedang menghabiskan cuti sekolah minggu ini berjaya dikumpulkan dalam program sehari di Masjid As-Syakirin, KLCC di sini. Program yang diberi nama 'Offline with Hedonism!' (OWH) itu bermula pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 5.00 petang. Ia merupakan satu daripada pelbagai program kesedaran dan motivasi yang disasarkan kepada remaja belasan tahun dalam usaha membentuk mereka menjadi Muslim yang kental menghadapi cabaran.

aMenurut Penasihat Program, Mohd Hafiz Abd Hamid (gambar), OWH yang dianjurkan oleh Kelab Remaja Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Kuala Lumpur atau ringkasnya KRJ KL ingin berkongsi dengan peserta tentang kesan-kesan budaya hedonisme terhadap remaja di negara ini. OWH dikendalikan oleh remaja lepasan SPM yang merupakan 'graduan' program 'Madrasah Hayyah al- Islah' (MHI) anjuran JIM, manakala para peserta OWH terbuka kepada pelajar-pelajar berumur 12-17 tahun di sekitar lembah kelang.

"Kita sasarkan peserta di peringkat awal remaja supaya mereka dapat dicegah dahulu sebelum terjebak dengan budaya hedonisme ini," jelas Hafiz.

Apakah 'hedonisme'? Ia adalah satu fahaman yang menjadikan hiburan yang melampau sebagai matlamat utama kehidupan.

"Orang yang terjebak dengan budaya buruk ini melihat hidupnya hanyalah untuk berhibur dan berseronok sahaja. Sebab itu dalam program ini, kita menekankan tema bahawa 'Hedonisme Bukan Fitrah Kami'. Isi program pula lebih menjurus kepada kebejatan 7S (sex, smoke, sport, SMS, social network, screen, song) iaitu antara budaya hedonisme yg melanda remaja hari ini," ujar Hafiz lagi dengan penuh semangat.

"Sebenarnya remaja sekarang banyak terikut-ikut dengan peredaran semasa. Sebab itu program ini menekankan bahawa persekitaran semasa itulah yang banyak mencorakkan kehidupan mereka. Mereka juga sebenarnya kurang kasih sayang, jadi kita kena mengisi kekurangan ini dengan betul," katanya lagi.

Para peserta telah didedahkan dengan aktiviti latihan dalam kumpulan, permainan berciri pengurusan, persembahan berkumpulan dan yang paling mengujakan, 'explorace' di dalam bangunan KLCC. Program yang mendapat kerjasama baik daripada pengurusan Masjid As-Syakirin ini dianggap berjaya dan maklumat setiap peserta akan disimpan dalam pangkalan data KRJ KL untuk program-program susulan seterusnya.

Sementara itu, Setiausaha JIM Kuala Lumpur, Zulkifli Ahmad (gambar) berpendapat zaman ini adalah era yang cukup mencabar bagi remaja kerana cabaran datang dari pelbagai penjuru.

a"Cabaran bukan setakat hiburan sahaja, malah pemikiran juga. Hari ini gejala seperti membuang bayi, hiburan dan meminum arak sudah dianggap biasa oleh remaja. Mereka bukan lagi melihatnya sebagai dosa, bahkan beranggapan, 'kalau aku tak buat perkara ni, maka aku tak macho'. Inilah fenomena yang kita risaukan, dan kita bertanggungjawab membina jiwa remaja seperti ini supaya mereka bersedia menghadapi cabaran," katanya.

Program remaja, menurutnya lagi, perlu ditumpukan kepada pembentukan jati diri dan akhlak, pendedahan kepada kesedaran dan motivasi, dan paling penting menyediakan alternatif hingga mereka dapat membezakan sendiri antara perkara yang boleh dengan yang tidak boleh dilakukan, antara yang halal dengan yang haram dan sebagainya.

JIM Kuala Lumpur melalui jawatankuasa remajanya banyak menjalankan aktiviti di sekolah-sekolah seperti program popular 'Keindahan Bersama-Mu', program 'BEST' untuk pelajar-pelajar sekolah menengah rendah, selain aktiviti fizikal seperti futsal dan lawatan sambil belajar ke Petrosains dan lain-lain.

"Sudah tentu program JIM sahaja tidak cukup untuk menampung keperluan remaja yang ramai. Kerjasama antara NGO dan agensi kerajaan mesti diwujudkan bagi menangani gejala negatif dalam kalangan remaja ini. Kita kena tengok dari dua aspek, antara cabaran hedonisme dengan cabaran untuk menanganinya. JIM banyak membuat program-program berbentuk 'membaiki' dan memberi kekuatan jiwa, tetapi dalam masa yang sama, ada pihak lain yang sengaja menyuburkan aktiviti- aktiviti hedonisme supaya para remaja terjebak. Aspek ini yang sukar untuk kita tangani," ujar Zulkifli lagi.

"Kalau satu aspek sahaja dibuat, insya-Allah ia boleh selesai juga tetapi akan memakan masa yang lama dan kos yang banyak. Jadi, kerjasama semua pihak termasuk pihak berkuasa, bahagian agama polis amat diperlukan untuk menutup lubang-lubang maksiat ini."

aMenurutnya lagi, usaha-usaha yang telah dijalankan oleh pelbagai pihak selama ini ternyata masih tidak mencukupi kerana hanya mencapai golongan sasaran tertentu, sedangkan masih ramai lagi remaja yang terbiar dan tidak disantuni. Justeru, pihak yang terbabit harus pandai memainkan peranan di bidang-bidang yang berlainan (tidak bertindan dengan usaha pihak lain) kerana masing- masing ada kekangan dari segi tenaga dan kewangan. "Contohnya JIM banyak menumpukan bidang sahsiah. Bidang-bidang lain seperti memacu akademik remaja kita harap dapat dilakukan oleh NGO lain. Alhamdulillah, setakat ini kita banyak bekerjasama dengan pihak-pihak seperti JAWI (Jabatan Agama Isam Wilayah Persekutuan), pejabat mufti, Dewan Bandaraya Kuaa Lumpur, masjid-masjid dan surau-surau di sekitar Kuala Lumpur," tambahnya.

Ku Muhammad Azim Ku Aizuddin, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang yang ditemui berkata, beliau mendapat pengalaman berharga dan dapat mengenali dengan lebih mendalam apa itu budaya hedonisme dalam program ini.

"Para peserta yang mengikuti program hari ini sudah mengetahuinya, Jadi, sebarkanlah pengetahuan ini kepada remaja lain di luar sana kerana budaya hedonisme ini mesti dihindari oleh semua," ujarnya.

Pengalaman yang sama dikongsi oleh Farah Ilyana Huzaimi, 16, pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam yang melihat trend buruk remaja sekarang berlaku di hadapan matanya.

"Semasa kami melakukan 'explorace' tadi pun kami nampak perangai remaja yang tidak senonoh, membuktikan bahawa peranan memberi nasihat dan menunjukkan contoh yang baik mesti dilakukan oleh remaja yang mempunyai kesedaran seperti kami," katanya.

a

a

a

No comments: